Monday, September 17, 2012

Didikan Baik Seorang Bapa a.k.a Bapa Misali ^^' Y

“Papa….papa….,” tiba-tiba Ain memanggil aku. Terganggu kekhusyukkan aku menonton cerita Merlin.




“Ya…. Kenapa Ain?” sahutku dan bertanya sambil acuh tak acuh.



“Tempoh hari pa cerita mengenai syurga kan? Cerita la lagi pa. Akak nak dengar lagi cerita syurga,” rayu Ain.



“Lepas pa habis tonton cerita Merlin ni la ya,” jawabku kerana aku mahu menonton cerita Merlin sehingga tamat. Merlin adalah antara rancangan televisyen kegemaranku.



“Ala..cerita la pa…,” rayu Ain lagi.



“Baiklah…Baiklah….,” aku pun bangun mematikan suis televisyen.



“Ain nak pa cerita apa?” tanyaku untuk mendapatkan idea sambungan cerita syurga tempoh hari.



“Tempoh hari pa dah cerita dalam syurga ada sungai….. dalam sungai ada ikan…..”

“Lepas kita makan ikan tu, kita baling tulang dia ke dalam sungai, tulang tu jadi ikan semula.”

“Lagi… pa cerita mengenai rasa buah di syurga…. Ha, sampai situ je rasanya. Cerita la lagi pa,” Ain memberikan ringkasan cerita syurga yang aku ceritakan kepadanya tempoh hari.



“Dalam syurga ada banyak pokok,” aku memulakan cerita.

“ Kita boleh tanam pokok di syurga. Tapi kena tanam sekarang la, masa kita hidup di dunia ni.”

“Kalau dah mati, dah masuk syurga, dah tak boleh tanam dah….. Cuma boleh ambil hasil je.”

“Ain tahu bagaimana nak tanam pokok di dalam syurga?” tanya aku cuba menarik perhatian Ain.



“Tak tahu….Cikgu tak ajar pun di sekolah.”

“Bagaimana kita nak tanam pokok di syurga pa? Sama macam tanam di dunia ni ke pa?” tanya Ain dengan penuh perasaan ingin tahu.



“Senang aje….Cuba Ain sebut Subhanallah sekarang,” aku menyuruh Ain memuji Allah yang Maha Esa.



“Subhanallah….,” Ain menuruti apa yang aku suruh tanpa ragu-ragu.



“Ha… Tu Ain dah tanam satu pokok di dalam syurga Ain.”

“Ain tahu besar mana pokok tu?” tanyaku lagi.



Ain hanya menggelengkan kepala.



“Apabila kita sebut Subhanallah, sepohon pokok akan tumbuh di dalam syurga kita.”

“Saiz pokok tu,…. kalau di letak seekor kuda yang berlari paling laju di dunia ni untuk berlari merentasi bayang pokok tu…… kuda tu perlu ambil masa 500 tahun untuk merentasi bayang pokok tu.”

“Besar tak saiz pokok tu?” aku cuba menguji imaginasi Ain.



“Besar nyer pa….. 500 tahun….. Lama nyer…..” jawab Ain dengan penuh semangat.



“Jadi, kalau Ain nak banyak pokok di dalam syurga Ain nanti, Ain sebutlah Subhanallah banyak-banyak,” nasihatku kepada Ain.



“Kalau dah banyak sangat pokok, penuhlah syurga Ain nanti,” Ain menyatakan kerisauannya.



“Kalau penuh….. Allah besarkanlah syurga Ain. Jadi syurga Ain akan sentiasa membesar saiznya,” jawabku sambil tersenyum.



“Oooo…..macam tu ke….” balas Ain dengan dahi berkerut seolah-olah sedang membayangkan apa yang ada di dalam syurga.



“Ain tahu syurga siapa paling besar?” tanyaku kepada Ain untuk menguji pengetahuannya.



“Siapa pa?” tanya Ain sambil menggelengkan kepalanya.



“Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a.,” jawabku.



“Kenapa syurga dia paling besar pa?” tanya Ain lagi.



“Suatu hari, Malaikat Jibrail a.s. mengadap Allah s.w.t.”

“Malaikat Jibrail minta izin daripada Allah untuk menziarah syurga Saidina Abu Bakar r.a…. Allah pun izinkan.”

“Ain tahu berapa besar saiz Malaikat Jibrail?” tanyaku kepada Ain.



Ain menggelengkan kepalanya lagi sambil mulutnya ternganga kehairanan.



“Kalau Malaikat Jibrail berdiri, kaki dia mencecah lapisan bumi ketujuh dan kepala dia mencecah lapisan langit yang ketujuh.”

“Kalau dia buka sepasang sayap dia, akan tutup bumi timur dan barat.”

“Malaikat Jibrail ada 100 sayap,” jelasku kepada Ain.



“Besarnya Malaikat Jibrail tu pa. Hebat betul Allah cipta Malaikat Jibrail,” Ain menyatakan kekagumannya terhadap makhluk ciptaan Allah itu.



“Besarkan? Subhanallah. Hebat Allah s.w.t.” aku memuji kehebatan Allah tuhan sekelian alam.

“Apabila Allah beri keizinan kepada Malaikat Jibrail untuk melawat syurga Saidina Abu Bakar, Malaikat Jibrail pun buka kesemua sayap dia.”

“Malaikat Jibrail pun terbang masuk ke dalam syurga Saidina Abu Bakar. Sekali kibas sayap, sepantas kilat lajunya.”

“Malaikat Jibrail terbang hingga letih melawat syurga Saidina Abu Bakar. Akhirnya Malaikat Jibrail pun dah tak larat.”

“Malaikat Jibrail pun pergi mengadap Allah s.w.t. untuk bertanya sejauh mana dia dah melawat syurga Saidina Abu Bakar.”

“Allah s.w.t. beritahu, Malaikat Jibrail baru melawat anjungnya sahaja, belum masuk ke dalam syurga Saidina Abu Bakar lagi,” ceritaku kepada Ain. Ain mendengar dengan penuh khusyuk.



“Mengapa syurga Saidina Abu Bakar besar sangat pa?” tanya Ain dengan perasaan ingin tahu.



“Sebab…..Saidina Abu Bakar adalah orang pertama yang memeluk Islam. Pagi tu selepas dia masuk Islam, dia terus tanya Rasullullah s.a.w. apa kerja dia?”

“Rasullullah s.a.w. jawab, apa kerja aku, itu kerja kamu. Saidina Abu Bakar terus faham.”

“Petang tu Saidina Abu Bakar datang balik jumpa Rasullullah s.a.w. dan bawa lima orang untuk masuk Islam.”

“Dia faham apa kerja Rasullullah s.a.w. iaitu mengajak manusia kepada Allah.”

“Inilah sebabnya syurga Saidina Abu Bakar sentiasa membesar dan akan terus membesar sehingga hari kiamat, sebab semua ganjaran pahala yang orang Saidina Abu Bakar ajak masuk Islam tu akan dapat juga kepada Saidina Abu Bakar.”

“Segala amal ibadat dan ganjaran pahala orang yang Saidina Abu Bakar dakwah masuk Islam tu dan juga segala ganjaran pahala anak keturunannya, akan masuk juga ke dalam buku amalan Saidina Abu Bakar sehingga hari kiamat.”

“Sebab itulah syurga Saidina Abu Bakar akan sentiasa membesar sehingga hari kiamat.”

“Ulamak kata, inilah perniagaan yang tidak rugi.”

“Kalau Ain nak syurga Ain sentiasa membesar, Ain kena dakwah, ajak kawan-kawan Ain buat baik…. Ajak mereka taat perintah Allah dan amal sunnah Rasullullah s.a.w.,” jelasku dengan panjang lebar kepada Ain.



Ain mengangguk-anggukkan kepalanya sambil matanya bulat dan dahinya bekerut mungkin sedang membayangkan saiz syurga Saidina Abu Bakar atau mungkin syurga yang akan diperolehi jika dia melakukan seperti apa yang di lakukan oleh Saidina Abu Bakar iaitu dakwah, mengajak manusia kepada Allah.



kisah benar by by zcomby in novel atau zul.